Tuesday, October 23, 2018

7 Teknologi moden dalam pertanian yang mengagumkan, anda kini boleh membentuk buah-buahan menjadi bentuk yang anda inginkan!



Zaman teknologi kini membawa kita kepada penciptaan-penciptaan moden yang sangat mengagumkan. Semuanya menjadi lebih mudah. Dengan hanya menggunakan mesin pelbagai kerja dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.


\
Bidang pertanian juga nampaknya mengalami perubahan yang besar dalam teknologi.


Jika dahulu hanya tenaga manusia yang digunakan. Selepas itu tenaga haiwan mula digunakan kemudian kerja-kerja mula dilakukan oleh mesin. Kini, kerja-kerja penanaman jauh lebih maju dan moden sehinggakan anda boleh menyelesaikan semua kerja dengan sekelip mata. Tenaga anda juga dapat dijimatkan dan apa paling yang penting kualiti tanaman juga dalam keadan baik.

Seiring dengan kemajuan teknologi dan kehendak manusia kini anda boleh membentuk sendiri buah-buahan menjadi bentuk yang anda mahukan. Dengan menggunakan casing khas buah-buahan tersebut akan membesar mengikut bentuk casing yang digunakan kepada buah berkenaan.








Pertanian adalah merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi. Slogan ‘pertanian adalah perniagaan’ sememangnya ada kebenaran. Situasi yang membolehkan aktiviti pertanian itu menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau peniaga ini tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya tadi.
‘Pertanian adalah perniagaan’ juga merupakan visi yang sangat popular. Ia bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri sahaja. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah. Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada tanah. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya.
Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini.
Kepentingan Pertanian Kepada Negara
Pada peringkat awalnya, pertanian di negara kita hanya berfungsi untuk memenuhi keperluan asas rakyat tempatan. Kini, fungsi pertanian ternyata telah berubah. Pertanian dilihat sebagai perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat Malaysia, membantu merapatkan jurang sosial ekonomi dalam masyarakat dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2010, nilai pengeluaran kasar daripada Banci Ekonomi 2011 untuk sektor pertanian adalah sebanyak RM53, 452.1 juta. Penyumbang utama pengeluaran dalam sektor pertanian adalah subsektor tanaman dengan RM37, 275.6 juta, diikuti perhutanan & pembalakan (RM8, 111.0 juta), ternakan (RM6, 591.5 juta) dan akhir sekali perikanan (RM1, 474.1 juta).
Bidang pertanian dilihat dapat mengurang kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan dari negara lain. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, kopi, koko dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini.  Jika keperluan dalaman rakyat Malaysia adalah mencukupi, maka kita tidak perlu mengimport bahan makanan ini daripada negara luar.
Pertanian juga dilihat sebagai salah satu cara untuk menggalakkan pengaliran wang masuk melalui pengeksportan hasil pertanian ini ke negara-negara luar. Selain itu juga, bidang pertanian juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Mengikut bancian yang dibuat, jumlah tenaga pekerja di sektor pertanian pada 2010 adalah dianggarkan seramai 390, 708 orang. Kategori pekerja bergaji adalah seramai 384, 769 (98.5%) dan hanya 5, 939 orang (1.5%) adalah pemilik yang bekerja, rakan niaga yang aktif dan pekerja keluarga tidak bergaji. Daripada jumlah tenaga pekerja itu, 318, 583 (81.5%) adalah pekerja lelaki dan selebihnya (18.5%) adalah pekerja wanita.
Pertanian juga turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya. Sekiranya pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan meningkat.  Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.
Dengan menceburi bidang pertanian, secara tidak langsung kita akan dapat membantu negara memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada berlaku. Dengan bilangan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28.6 juta penduduk pada tahun 2010 dan dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020, tentunya keperluan makanan akan semakin meningkat. Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan sebab mengapa terjadinya krisis kekurangan makanan di dunia. Keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan sumber-sumber adalah amat membimbangkan. Selain daripada isu pertambahan penduduk, faktor lain yang membawa kepada masalah kekurangan makanan adalah berpunca daripada kejadian bencana alam yang berterusan. Apabila terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada yang terpaksa menukar tanah-tanah pertanian menjadi kawasan penempatan penduduk. Akibatnya keluasan tanah-tanah pertanian menjadi semakin kecil. Perubahan cuaca yang ekstrem di sesetengah negara juga boleh menjadi sebab keperluan bahan makanan semakin berkurangan. Hal ini pernah berlaku di Rusia pada tahun 2010, yang telah menyebabkan kerajaan Rusia mengambil langkah drastik menghentikan eksport hasil pertanian gandum dan barli mereka. Krisis makanan juga pernah berlaku di Malaysia pada bulan Mac dan April tahun 2008. Krisis ini terjadi apabila kekurangan beras dan kenaikan harga minyak mentah global. Ternyata, ia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat apabila inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak.
Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat peranginan agro-pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi. Selain menjadi pusat pelancongan berasas pertanian, resort juga turut menyediakan lawatan ke ladang buah-buahan seperti nangka, durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan jambu mawar. Tetamu juga diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan di kawasan itu.

Strategi Kerajaan Mempromosikan Bidang Pertanian
Bagi memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan.
Sejumlah wang telah diperuntukkan kepada sektor pertanian menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan baru-baru ini. Sejajar dengan ikrar kerajaan, sebanyak RM5.8 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.  Kerajaan Malaysia juga telah menyediakan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan program pertanianmerangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga telah mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi sebanyak RM480 juta, Pemberian Subsidi Baja Padi sebanyak RM465 juta, Insentif Peningkatan Hasil Padi sebanyak RM80 juta, Insentif Pengeluaran Padi sebanyak RM563 juta, Subsidi Harga Beras bernilai RM528 juta dan Subsidi Benih Padi Sah sebanyak RM85 juta. Dengan adanya subsidi ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan beban pengusaha ladang.
Di samping itu, kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta menggiatkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good Agricultural Practices  (GAP). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian  Jabatan Pertanian Malaysia  bertujuan untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. APB merangkumi pengurusan ladang yang lebih mesra kepada alam sekitar. APB juga bertindak memastikan amalan-amalan yang dilaksanakan oleh pengusaha ladang semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil bagi ladang adalah berkualiti, produk yang dikeluarkan selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan juga pekerja ladang.
Kabinet Malaysia juga telah meluluskan Dasar Agro Makanan Negara (DAN) pada 28 September 2011 yang akan dijalankan selama 10 tahun (2011-2020). DAN dibentuk untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara. Antara bidang keutamaan DAN adalah untuk mengembangkan industri ternakan, memodenkan industri perikanan, mengukuhkan industri padi dan beras, mempromosi agro pelancongan, meningkatkan industri asas tani, memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi dan memperkukuhkan industri sayuran, buah-buahan dan kelapa.
Beberapa pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang diusahakan di Malaysia kepada masyarakat. MAHA juga memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari dalam dan luar negara daripada aspek teknologi dan inovasi. MAHA juga dijadikan platform untuk mendedahkan belia kepada bidang pertanian di samping memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri asas tani untuk pelabur asing dan persendirian.
Selain itu, beberapa buah Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC seperti yang terdapat di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan juga telah dibuka. Ini merupakan kaedah pemasaran moden di mana RTC ini bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian tempatan. RTC jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna.
Kesimpulan
Di negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju lain, golongan petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong dalam golongan mereka yang kaya raya.  Situasi ini mungkin boleh berlaku di negara kita. Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada.
Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita. Marilah mula berbudi kepada tanah!

Tuesday, October 9, 2018

Pertanian Bandar: Selangkah ke Hadapan untuk Jaminan Makanan



Apabila penduduk dunia kian meningkat, proses urbanisasi bergerak seiring di mana lebih ramai orang dijangka untuk tinggal di bandar. Menjelang 2025, dianggarkan dalam 60 hingga 85 peratus penduduk dunia akan dianggap sebagai penghuni bandar. Di Malaysia, penduduk bandar dijangka akan meningkat kepada 75% pada tahun 2020.
Proses perbandaran yang pesat menarik kemiskinan dan ketidakstabilan makanan di bandar, memandangkan penghuni bandar sebenarnya pembeli makanan utama dan bergantung kepada pendapatan tunai untuk mengakses makanan. Malah, bagi mereka terutamanya golongan miskin  bandar, terdedah kepada kejutan harga makanan dan mengalami kesulitan kerana harga makanan yang tinggi, yang akhirnya boleh membawa kepada ketidakstabilan makanan memandangkan makanan menyumbang kepada sebahagian besar perbelanjaan isi rumah bandar.
Pengeluaran makanan sentiasa dikaitkan dengan persekitaran luar bandar. Malah, untuk memberi makan kepada penduduk bandar, diandaikan bahawa kebergantungan kepada pengeluaran makanan luar bandar adalah mencukupi. Walau bagaimanapun, kenyataan ini tidak berapa tepat, kerana pertanian bandar itu sendiri mampu untuk menampung permintaan makanan penduduk bandar memandangkan ianya diamalkan dengan cara yang betul.
Pertanian bandar ditakrifkan oleh FAO sebagai aktiviti pertanian secara menanam, menaikkan, memproses dan mengedarkan produk pertanian tanpa mengira saiz tanah dan jumlah sumber manusia di bandar dan pekan.

Kajian daripada kedua-dua ekonomi maju dan membangun menunjukkan bahawa kegiatan pertanian bandar dapat menyumbang kepada ketersediaan makanan segar dan berkhasiat, pengurangan perbelanjaan pada bil makanan, dan akses langsung kepada pelbagai jenis produk makanan. Kajian di 15 buah negara menunjukkan bahawa aktiviti pertanian bandar berkait rapat dengan jaminan makanan, kepelbagaian diet dan diet bernutrisi yang mencukupi.
Seterusnya, pertanian bandar juga memainkan peranan yang penting dalam masalah perubahan iklim. Ianya boleh menghijaukan bandar dan memperbaiki iklim bandar sambil menggalakkan penggunaan semula sisa organik bandar dan mengurangkan jejak tenaga bandar.
Setelah mengiktiraf kepentingan pertanian bandar, kerajaan Malaysia memberi sokongan penuh terhadap aktiviti ini. Hal ini dapat dilihat daripada pembentukan bahagian pertanian bandar di bawah Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2010 untuk menggalakkan aktiviti pertanian di bandar bagi mengurangkan kos sara hidup masyarakat bandar.

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah merangka dan membangunkan beberapa teknologi pertanian menegak yang mampu dimanfaatkan oleh golongan miskin bandar. Teknologi ini sesuai untuk penghuni flat dengan ruang pertumbuhan yang terhad dan tidak sesuai.
Memandangkan pertanian bandar berpotensi untuk mendapatkan momentum di Malaysia, maka adalah penting untuk melaksanakan strategi yang sesuai bagi memastikan ketersediaan dan kemampuan makanan yang selamat dan sihat, mempromosikan penghasilan makanan sedemikian di kawasan bandar serta mempertingkatkan mata pencarian dalam rantaian nilai. Sumbangan bandar terhadap ketersediaan makanan dan nutrisi yang sihat bagi penduduk bandar merupakan salah satu aset yang paling penting di samping menyediakan sumber pendapatan dan mata pencarian kepada para peserta.
Untuk maju ke hadapan, pencipta polisi perlu mempertimbangkan beberapa pendekatan untuk menjadikan aktiviti ini berdaya maju secara sosial dan ekonomi. Hal ini termasuk memperkenalkan teknologi dan pengetahuan teknologi untuk menanam sayur-sayuran di rumah pangsa dan pangsapuri serta mengenal pasti tanah untuk pertanian bandar kepada penghuni bandar. Hal ini boleh dilakukan oleh agensi kerajaan tempatan yang mana mereka boleh mengenal pasti lot kosong dan menyebarkan maklumat ini secara terbuka serta memberi kuasa kepada pemilik tanah persendirian.